Filem Guang arahan Quek Shio Chuan mencipta sejarah manis buat Malaysia apabila meraih trofi anugerah Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-59 yang berlangsung di Macau malam tadi.

Lebih membanggakan, pencapaian terbabit merupakan kejayaan sulung yang diraih negara untuk kategori Filem Cereka Terbaik sepanjang penganjuran festival yang berlangsung semenjak 1954.

Berita baik itu disampaikan menerusi laman Facebook rasmi FINAS Malaysia menerusi kemas kini status yang dimuat naik malam tadi.

"Sekalung tahniah buat filem Guang arahan Quek Shio Chuan yang mencipta sejarah buat Malaysia apabila merangkul anugerah Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-59 yang berlangsung di Macau hari ini.

"Kejayaan sulung yang diraih negara untuk kategori Filem Cereka Terbaik sepanjang penganjuran festival yang berlangsung dari edisi pertama di Tokyo pada tahun 1954 ini turut cemerlang apabila 'Guang' turut berjaya meraih anugerah Lakonlayar Terbaik buat Quek Shio Chuan sendiri.

"Dibintangi Kyo Chen, Emily Chan, Ernest Chong dan ramai lagi, filem mengenai kasih sayang adik beradik dan perjuangan kisah pemuda autistik yang mempunyai bakat istimewa ini terdahulunya meraih empat buah anugerah di Festival Filem Malaysia ke-30 bagi kategori Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen), Sinematografi Terbaik (Eric Yeong) dan Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu).

"En. Panshah, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan YBhg. Dato' Nancie Foo telah menerima trofi dan plak kemenangan mewakili filem 'Guang' di festival ini," tulis entri terbabit.


Satu pencapaian membanggakan, tahniah Gempak ucapkan kepada filem Guang dan seluruh tenaga produksi yang terlibat!