Penyanyi dan juri tetap Ceria Megastar 2020, Ernie Zakri menyatakan dia bukan saja sebagai penghibur penonton namun ingin menjadi pendidik kepada golongan junior.

Kata Ernie, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu kepada anak-anak muda memandangkan mereka yang akan menyambung legasinya.

"Cita-cita saya bukan saja ingin jadi penyanyi tapi jika diberi peluang saya ingin mendidik dan kongsi ilmu yang ada pada diri saya.

"Ini salah satu platform yang baik untuk saya lakukan. Saya kongsi dengan junior macam mana nak teruskan dalam karier. Mereka ini yang akan jadi pengganti apabila saya dah tiada nanti.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk beritahu apa yang bagus untuk mereka amalkan dalam persembahan.

"Seperti mana saya beri contoh kepada cikgu saya, Datuk Syafinaz jadi seperti itu juga yang saya inginkan.

"Sebagai juri sebenarnya banyak yang perlu dipelajari, insya-Allah Ceria Megastar 2020 ini adalah satu permulaan," katanya kepada Gempak.



Tambah pelantun lagu Ku Bersuara ini, dia akui ada persiapan yang dilakukan sebelum tampil sebagai seorang juri.

"Saya banyak bertanya kepada rakan artis lain yang pernah duduk di kerusi juri. Datuk Syafinaz sendiri ada kongsikan saya tips bagaimana untuk beri kritikan.

"Saya gunakan juga ilmu semasa belajar dulu. Sebenarnya kita yang duduk di kerusi juri ini satu sebagai juri dan satu lagi adalah penonton. Jadi peserta ni perlu hiburkan kita," katanya lagi.

Selain Ernie, juri tetap bagi musim ini adalah Zizan Razak manakala Shuib Sepahtu diundang sebagai juri profesional bagi minggu pertama dan kedua.

Menariknya selain Nabil Ahmad, kali ini Ceria Megastar turut dikendalikan oleh pengacara dan pelakon Raja Azura.

Dalam pada itu, penyanyi dan guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat, koreografer dan penari terkenal, Alam Wakaka serta juara Ceria Megastar 2018, Chubb-E dipilih sebagai penasihat persembahan.

Komposer terkenal, Datuk Acis pula menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi musim kali ini sama seperti musim lalu.

Ceria Megastar 2 bermula pada Sabtu, 29 Februari 2020, jam 9 malam.

Program ini ditayangkan secara langsung menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631).

Program realiti yang mencari bakat terunggul dalam kalangan terbaik ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Jom tonton semula Ceria Megastar 2020 menggunakan telefon pintar anda menerusi aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!