Cliff Umar dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Juara secara automatik menjadi penerima Anugerah Bintang Paling Power Miow tajaan Adabi iaitu wang tunai sebanyak RM2,000 dan tajaan barangan Adabi selama satu bulan.

Naib juara menjadi milik yang Muss memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Ayu Damit terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi masing-masing.

Sementara Noraniza Idris, Linda Nanuwil, Oja dan Ashira yang menduduki tempat keempat, kelima, keenam dan ketujuh tidak pulang dengan tangan kosong serta masing-masing membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu RM10 ribu dan RM5,000 berserta trofi.

Kesemua bintang finalis turut menerima hadiah tajaan penginapan daripada Royale Chulan Hotel & Resorts Malaysia.

GV7 disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu, setiap Ahad jam 9 malam.

Di awal rancangan Ayu Damit diumumkan sebagai penerima Anugerah Digi Next Level dengan wang tunai RM3,000 selepas mendapat undian tertinggi di laman web Astro Gempak sepanjang minggu ini.

Oja menerima RM5,000 apabila terpilih sebagai pemenang Anugerah Digi Next Level minggu kesepuluh.

Linda Nanuwil sekali lagi menjadi pemenang Anugerah Bintang Cuckoo Healthy Home kerana memperoleh kicauan paling banyak di laman sosial Twitter sepanjang siaran langsung.

Menerusi segmen kongsi rezeki kali ini, Farm Fresh dan Astro mengunjungi komposer, penulis lirik, pelakon dan pelawak popular Bob Lokman.

Bob yang sedang uzur kerana komplikasi jantung menerima sumbangan sebanyak RM10,000.

Persembahan bintang GV7 peringkat akhir diadili Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi rap popular, Joe Flizzow.

Pentas akhir GV7 dikendalikan Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

GV7 dibawakan oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.