VIRAL

“Cold Sores Bukan Sebab Telur Masam!” – Dr Say ‘Sound’ Pempengaruh Isu Herpes, Tegur Konten Mengaibkan

Amri Hassan 24/06/2025 | 07:55 MYT
Pempengaruh kesihatan dan doktor perubatan terkenal, Dr Say Shazril, tampil memberi pencerahan berhubung jangkitan herpes yang dikaitkan dengan seorang usahawan sensasi baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Dr Say atau nama sebenarnya Muhammad Shazril Shaharuddin menjelaskan bahawa cold sores atau lepuh di mulut, adalah salah satu simptom yang berpunca daripada jangkitan virus herpes, yang dikategorikan kepada dua jenis utama.

“Cold Sores adalah sejenis penyakit yang disebabkan virus herpes. Ada dua jenis virus herpes yakni Herpes Simplex Type-1 (HSV-1) dan Herpes Simplex Type-2 (HSV-2).

"HSV-1 biasa berlaku kat mulut dan HSV-2 biasanya kat kemaluan tapi kedua-duanya boleh bertukar tempat.

"Macam mana ia boleh berjangkit? Melalui ciuman, seks oral atau berkongsi barang peribadi seperti lip balm, shaver, tuala sebab inilah barang peribadi, keep it sebagai peribadi.

"Jadi tak semestinya cold sores disebabkan ‘telur lelaki masam’,” jelasnya.


Menurut Dr Say, walaupun herpes tidak berbahaya, virus ini boleh kembali menyerang kawasan sama pada tubuh jika individu berada dalam keadaan tekanan, penat melampau, sistem imun lemah atau perubahan hormon yang ketara.

Dalam pada itu, Dr Say turut menegur sikap segelintir individu yang mengaitkan masalah kesihatan dengan kenyataan mengaibkan, terutama apabila disebarkan secara terbuka di media sosial.

“Berkaitan adab pula, sikit sahaja saya nak sentuh sebab saya bukan ‘ahli’ bab ini. Kalau isteri berseloroh buat video cakap telur masam, saya malu dan jatuh air muka.

"Apa jua perkara yang mengaibkan yang mungkin kita atau pasangan kita ada, lebih baik kita simpan sendiri sebab ia boleh membuka fitnah lagi-lagi di media sosial.

"Cuba kita terbalikkan keadaan, kalau lelaki tu kena cold sores selepas itu dia canang satu dunia ‘oh ni sebab isteri saya apum basilah ni,’ adakah anda masih tertawa atau anda akan hukum lelaki itu?

"Dalam dunia digital ini, adab dan ilmu kena seiring. Jangan sebarkan penyakit dengan mulut dan jangan sebarkan aib dengan jari,” tegasnya.

Terdahulu, usahawan Kieda Crepe mencetuskan kontroversi selepas berkongsi satu video di media sosial mendakwa dirinya dijangkiti herpes disebabkan “telur suaminya yang masam” sambil menunjuk ke arah suami.

Walaupun dipercayai dibuat secara berseloroh, video tersebut menerima kecaman hebat daripada netizen yang menganggap ia tidak sensitif, tidak beretika dan mengaibkan pasangan secara terbuka.

Ramai pihak menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk kandungan yang melampaui batas, apatah lagi apabila melibatkan hal peribadi rumah tangga dan kesihatan yang sensitif.
#Virus #Dr Say #Tegur #Penyakit #Fakta #Kieda Crepe #Herpes