Dua minggu selepas berlabuhnya program realiti Gegar Vaganza 2019 (GV2019), anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly memilih untuk membawa haluan sendiri.

Kata salah seorang anggota ONE, Sabhi Saddi, keputusan itu dipilih sendiri oleh Mimi dan dia bersama dua anggota lain, Jojoe Fly dan Kozae Murtaza menghormati pendirian tersebut.

"Mimi sudah tak bersama kami. Daripada apa yang saya tahu, dia ingin meneruskan karier solonya dan pihak pengurusannya juga sudah ada perancangan untuknya.

"Kami tak halang mahu pun menyingkirkannya. Kami hormat dengan keputusan Mimi dan kami sentiasa mendoakan agar kerjaya seninya berlangsung dengan baik selepas ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan dua rakannya tidak mahu usaha mereka untuk kembali menempatkan nama di dalam industri muzik umpama satu usaha yang sia-sia.

"Mungkin sedikit sukar untuk kami bertiga bergerak tanpa Mimi kerana peminat dan penyokong kami semuanya sudah biasa dengan kewujudan empat anggota dalam ONE.

"Lagipun, saya tak mahu usaha kami selama ini untuk membuat kemunculan semula dan menempatkan nama kami dalam industri muzik seperti sia-sia. Tak semua orang dapat peluang untuk beraksi di pentas GV dan rasanya ia adalah satu platform terbaik," katanya.

Sabhi juga memaklumkan bahawa ONE akan menampilkan beberapa penyanyi wanita sebagai penampilan khas setiap kali muncul membuat persembahan.

"Insya-Allah, pada 16 Februari ini kami akan membuat persembahan di Singapura dan kami akan tampilkan penyanyi wanita sebagai penampilan khas. Siapa penyanyi itu, biarlah rahsia.

"Itu akan menjadi persembahan pertama kami tanpa Mimi dan kalau boleh, setiap kali membuat persembahan kami akan tampilkan penyanyi wanita. Ini kerana kami nak kekalkan identiti ONE yang ada seorang anggota wanita," katanya.

Sementara itu, Mimi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara ini.

"Saya tak mahu komen apa-apa buat masa sekarang. Yang pasti, saya tidak lagi bersama dengan ONE. Saya akan maklumkan sekiranya ada sebarang maklumat terkini selepas ini," katanya.

ONE adalah kumpulan hip hop popular tanah air yang aktif sejak 2008.

Sumber: Harian Metro