Comel & Berbakat! Tarinspirasi Dendang Rakyat Buka Tirai Panggung Seni Tradisional 2023

Amri Hassan
Mac 12, 2023 03:09 MYT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), terus komited dalam menyemarak dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan Panggung Seni Tradisional 2023 (PST2023).
Membuka tirai pada 10 dan 11 Mac ialah “Tarinspirasi Dendang Rakyat” oleh Genius Seni Tari bersama MYBUDAYA.
Pelbagai dendangan lagu rakyat dipersembahkan dalam bentuk tarian yang dibawa khas oleh kanak-kanak dan remaja berbakat seramai 78 orang daripada program GENIUS Seni Tari.
Apa yang boleh dikongsikan, keletah si cilik yang bersahaja dan lincah mempamerkan bakat tarian masing-masing membuatkan seisi auditorium terhibur dan bersorak sehingga habis acara.
Pentas dibuka dengan tiga segmen iaitu tarian berinspirasikan permainan tradisional, lagu-lagu rakyat dan perkahwinan. Ya, segmen terakhir itu antara segmen paling havoc!
Konsep menarik yang dipersembahkan kepada penonton dengan adanya koleksi lagu-lagu serta tarian yang ideal untuk dihidangkan oleh si cilik ketika acara kenduri-kendara.
Dua segmen terawal mengimbas semula nostalgia permainan tradisional yang terkenal dalam masyarakat majmuk di Malaysia antaranya Pukul Berapa Datuk Harimau, Nenek Nenek Bongkok Tiga dan banyak lagi.
Sebenarnya, Panggung Seni Tradisional 2023 (PST2023) tidak terhenti di sini, ada banyak lagi pengisian menarik yang anda tidak boleh lepaskan.

27-27 Mei 2023: Tala Natyam-The Dance Journey

Persembahan ini menyajikan gabungan tarian klasik India yang menarik, dilengkapkan dengan pelbagai segmen bentuk tarian tradisional merangkumi beberapa genre yang begitu terkenal di Malaysia seperti Odissi, Bharatanatyam, Manipuri, Kuchipudi dan Mohiniattam.

24-25 Jun 2023: Silk Road

Malaysian Chinese Cultural Society (MCCS) akan membawa persembahan “Silk Road” menemui para penonton pada 24 dan 25 Jun 2023. Persembahan ini membawakan keindahan melodi daripada masyarakat Cina yang kaya dengan warisan budaya dan mempunyai pelbagai kesenian yang unik.
Antara yang menarik adalah muzik tradisional mereka yang dipercayai mempunyai sejarah selama 8,000 tahun dahulu berdasarkan penemuan seruling tulang pada zaman Neolitik dan beberapa alat muzik yang terdapat di tapak arkeologi Dinasti Shang.

22-23 Jun 2023: Kembara Boria-Satu Perjalanan

Buat julung kalinya juga, JKKN membawakan persembahan kesenian unik negeri Pulau Mutiara dalam Teater Tradisional Boria di Kota Metropolitan Kuala Lumpur dengan tajuk “Kembara Boria-Satu Perjalanan” yang akan dipentaskan oleh Persatuan Seni dan Budaya Era Baru (MANES) pada 22 dan 23 Julai 2023.
Boria merupakan salah satu hiburan alternatif tradisional yang begitu terkenal di Pulau Pinang. Keunikan kesenian ini terletak kepada kreativiti nyanyian ‘tukang karang’ sambil diiringi penari latar yang berkeupayaan untuk mengikuti rentak muzik dimainkan.

4-5 Ogos 2023: Nong Sakti

Sebagai penutup tirai PST 2023, hasil karya Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu berjudul “Nong Sakti” akan dipersembahkan pada 4 dan 5 Ogos 2023.
Saba’ pada asalnya adalah merupakan satu upacara perubatan yang bertujuan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Bagi mengekalkan dan membuka mentaliti orang ramai tentang kesenian Saba’ ini, “Nong Sakti” digabung serta diterjemahkan ke dalam bentuk teater agar ia dapat dipertontonkan kepada semua lapisan masyarakat.
Majlis Pelancaran Panggung Seni Tradisional 2023 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Turut hadir ialah Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN dan barisan pengurusan tertinggi MOTAC serta JKKN.
Program ini merupakan usaha bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional dapat diteruskan. Ia juga sebagai langkah pemeliharaan dan pengekalan seni warisan negara yang berupaya menjadi serampang dua mata dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan salah satu produk pelancongan negara.
Sejak pelaksanaannya bermula 2013 sehingga tahun 2022, sebanyak 57 kumpulan atau persatuan telah mengadakan persembahan dalam program ini.
Seramai 2,659 peserta telah terlibat dengan jumlah penonton saban tahun memperlihatkan peningkatan iaitu sehingga tahun 2022, seramai 38,722 orang telah menyaksikan persembahan PST.
Melalui setiap siri dalam PST2023, JKKN telah memperlihatkan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia. Program ini bukan sekadar persembahan ‘sehala’ tetapi merupakan serampang dua mata kepada kumpulan atau persatuan seni budaya untuk mempelajari pelaksanaan sesebuah produksi bagi sesuatu persembahan.
PST2023 akan menemui penonton pada jam 8.30 malam bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), melalui beberapa siri persembahan.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
#JKKN #Tarian #Genius Seni Tari #Panggung Seni Tradisional #Tarinspirasi Dendang Rakyat