Kisah pasangan suami isteri yang memberikan nama anak mereka Google beberapa minggu lalu nampak gayanya telah mendapat perhatian syarikat gergasi berkenaan.

Menurut laporan Coconuts Jakarta, syarikat Google dikatakan telah mengubungi bapa kepada bayi itu untuk memberi kejutan.

Difahamkan, pasangan Andi Cahya Saputra, 31, dan Ella Karina, 27 itu menerima hadiah istimewa daripada Google yang dihantar menggunakan teksi terus ke rumah mereka di Bekasi, Indonesia.

"Syarikat Google mengucapkan tahniah kepada kami serta mendoakan supaya bayi Google menjadi insan yang berguna dan akan membantu ramai orang apabila besar kelak," katanya.

Walaubagaimanapun kedua-dua mereka tidak menjelaskan apakah hadiah yang diterima.

Untuk pengetahuan anda, Andi Cahya dan Ella sepakat menamakan anak mereka yang lahir pada 30 November lalu dengan nama Google.

Menurut laporan portal berita tempatan Kumparan, inspirasi untuk meletakkan nama berkenaan diperoleh pasangan berkenaan ketika kandungan Ella berusia tujuh bulan.

Andi berkata, pada awalnya, dia dan Ella mempunyai pilihan nama lain seperti Microsoft, iPhone, iOs, Windows dan sebagainya.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menukar fikiran iaitu Google.

“Namanya Google. Hanya satu perkataan, G-o-o-g-l-e,” katanya.