BERITA
'Content Creator' Pandu Lamborghini Tapi Tiada Lesen Disaman JPJ - "Kenderaan Itu Tidak Disita, Kami Benarkan ..."
Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Aventador ditahan kerana tiada lesen memandu dalam operasi bersepadu, di Jalan Bangsar, pada Selasa.
Lelaki berusia 28 tahun yang juga seorang pencipta kandungan itu memandu kereta berkenaan bersama teman wanitanya dalam perjalanan pulang ke Damansara Heights selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya hanya mengeluarkan saman kepada pemandu warga China berkenaan.
"Kenderaan itu tidak disita, kita membenarkan penumpang berlesen sah membawa kenderaan tersebut pulang," katanya ketika sidang akhbar di Jalan Bangsar, pada Selasa.
Beliau berkata, sebanyak 26 kenderaan disita dalam operasi bersepadu itu.
Menurutnya, operasi itu melibatkan 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Kita juga telah mengeluarkan 463 notis melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans, dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya.
Hamidi berkata, JSPT telah memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman.
“JIM pula telah memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia,
“AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 37 individu dan menahan dua lelaki dan seorang wanita kerana positif dadah jenis ganja," katanya.
Must-Watch Video