Malaysia mencatatkan sebanyak 1,210 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini ialah 49,730 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu ciapan berkata negeri di sekitar Lembah Klang merekodkan 518 kes positif baharu.

Manakala Sabah pula merekodkan 499 kes baharu.

“19 kes import mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan lima warganegara dan 14 lagi bukan warganegara.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini terdapat sebanyak 13,806 kes,” katanya dalam kenyataan media berhubung perkembangan COVID-19 pada Selasa.

Dia berkata jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah sebanyak 105 dan daripada jumlah itu, 40 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya lagi, Malaysia juga merekodkan 1,018 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 36,624 kes yang bersamaan dengan 73.6 peratus.

Dalam tempoh 24 jam juga, dia memaklumkan lima kes kematian baru direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 318 kes (0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sumber: Astro Awani