Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan terdapat penurunan kes jangkitan harian Covid-19 daripada 1,937 semalam kepada 1,229 kes pada hari ini.

Daripada jumlah itu, Selangor masih kekal menjadi negeri dengan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 435 kes diikuti Sabah (333) dan Kuala Lumpur (131).

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negara ini sebanyak 13,667 kes yang mana 115 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 65 daripadanya perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, kes pulih meningkat kepada empat digit iaitu sebanyak 1,309 pesakit dilaporkan sudah berjaya sembuh menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih daripada jangkitan seramai 69,393 orang.

Dalam pada itu, sebanyak empat kes kematian direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan angka kematian seraami 415 orang.

Sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 83,475 kes jangkitan virus Covid-19 dicatatkan di negara ini.




Infografik: KKM
Foto kredit: Facebook Noor Hisham Abdullah