Netizen meluahkan rasa bersyukur melihat angka jangkitan baharu COVID-19 hari ini mencatatkan penurunan kes.

Sebanyak 10,959 kes dicatatkan menjadikan jumlah itu adalah yang terendah sejak Julai lalu.

Menerusi ruangan komen di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rata-rata netizen melahirkan rasa gembira dan yakin negara mampu mengekang penularan COVID-19.

Selain itu mereka juga merasakan bakal ada sinar harapan untuk merentas negeri bagi bertemu keluarga di kampung.


Hari ini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara ialah sebanyak 2,209,194 kes.

Bagaimanapun hanya Sarawak dan Johor mencatakan angka melebihi 1,000.

Selangor pula mencatatkan penurunan dengan 979 kes, diikuti dengan Kelantan, 973 kes dan juga Pulau Pinang, 793 kes.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).