Seramai 12 petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah disahkan mengidap wabak COVID-19.

Menerusi laporan Astro Awani, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),

Menurut Noor Hisham, tiga lagi petugas kesihatan dari sektor swasta turut dijangkiti wabak itu yang sehingga kini telah meragut dua nyawa di negara ini.

“Virus ini tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau nilai harta anda, tambahan lagi jika anda seorang petugas kesihatan di barisan hadapan medan perang ini.

“Pesanan ringkas kami kepada orang ramai pada hari ini: Bantu kami untuk membantu anda. Duduk di rumah,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 12 tengah hari semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan.

Jumlah 63 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala 47 kes lagi adalah dari kluster kecil.

Penambahan kes jangkitan itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 900 kes.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Astro Awani