Malaysia mencatatkan sebanyak 2,062 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini adalah sebanyak 97,389 kes, lapor AWANI.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak empat kes import yang menerima jangkitan dari luar negara direkodkan, manakala selebihnya merupakan penularan dalam tempatan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini terdapat sebanyak 17,646 kes,” katanya dalam kenyataan media harian perkembangan COVID-19 pada Selasa.

"Bagi penularan mengikut negeri, Selangor masih kekal negeri tertinggi mencatatkan pertambahan kes COVID-19 dengan sebanyak 1,014 kes diikuti Kuala Lumpur 504 kes dan Sabah sebanyak 252 kes.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan di Selangor, sebanyak 887 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah sebanyak 111 kes dan daripada jumlah itu, 51 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, Malaysia juga merekodkan 911 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 79,304 kes yang bersamaan dengan 81.4 peratus.

Dalam tempoh 24 jam juga, beliau berkata satu kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 439 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sumber : Astro AWANI
Kredit Foto : kitareporters.com