Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan tiga bulan lagi.

Menurut Ismail Sabri, tempoh lanjutan PKPP berkuat kuasa dari 1 Januari sehingga 31 Mac 2021 di seluruh negara.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mendapati peningkatan kes yang ketara dan kadar kebolehjangkitan yang masih tinggi.

"Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

Antara lain peningkatan kes ini disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang sedang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri tumpuan, serta akibat daripada berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

"Sehubungan dengan itu, segala prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya seperti laporan Awani.

Bagaimana pun untuk aktiviti pelancongan pula, ia kekal berdasarkan ketetapan yang diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebelum ini, dan perlu mematuhi SOP yang ketat.

Dalam masa yang sama, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat negara ini agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Beliau menyifatkan 2021 sebagai cabaran yang lebih besar buat rakyat di seluruh dunia.

"Marilah kita mulakan perjalanan 2021 ini dengan tekad dan azam untuk terus bersama-sama dalam mendepani apa jua cabaran khususnya dalam memerangi wabak COVID-19.

"Sentiasa patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat," katanya.

Berikut merupakan antara aktiviti yang masih di bawah senarai terlarang bagi kawasan PKPP.

- Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam.

- Apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal.

Status Terkini #COVID19, 1 Januari 2021 Kes sembuh=2,230 Jumlah kes sembuh=91,171 kes Kes baharu positif=2,068 kes...

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Friday, 1 January 2021

Sementara itu, kes laporan harian COVID-19 hari ini merekodkan sebanyak 2,068 kes baharu.

Sebanyak 2,230 kes sembuh baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 91,171 kes.

Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kematian baharu menjadikan kumulatif kes kematian di negara ini adalah 474 kes.

Sehingga kini terdapat 126 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sumber: Astro Awani / Kementerian Kesihatan Malaysia