Malaysia masih mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 yang membimbangkan, dengan 2,451 kes lagi dicatat hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID19 di Malaysia sebanyak 133,559 kes, dengan kes aktif ketika ini adalah 26,185 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Bagi kes penularan di dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes adalah bukan warganegara.

Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 564 kes, diikuti Sabah sebanyak 409 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes.

Terdapat pertambahan lima kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 542 kes.

Lima kluster baharu dilaporkan hari ini membabitkan negeri Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Melaka dan Terengganu.