Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengemaskini jumlah kes positif COVID-19 hari ini.

Pada 26 Disember, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan ialah 2,778 kes menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 2,741,179 kes.

Dr Noor Hisham menerusi laman sosial Twitternya memaklumkan maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW covidnow.moh.gov.my

Data harian dikemaskini sekaligus selepas tengah malam.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan dua kes positif COVID-19 yang dijangkiti Omicron dilaporkan semalam, dalam kalangan jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata kedua-dua kes adalah sepasang suami isteri yang pergi menunaikan umrah pada 4 Disember lalu dan pulang ke Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu.

Katanya, ujian saringan reaksi rantai polimerase (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan pada 16 Disember lalu dan dikesan positif pada 18 Disember lalu.

Kini kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru, selain kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes sudah dikenal pasti dan diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah.

Selain itu, seorang wanita berusia 34 tahun menjadi individu pertama di Melaka yang dijangkiti varian Omicron.

Semalam, KKM mengesahkan mengesan 49 lagi kes positif COVID-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC) Omicron, dengan satu daripadanya berkemungkinan daripada penularan tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata penularan tempatan itu dikesan di Sarawak membabitkan lelaki warganegara China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan sudah bekerja di negeri berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Dengan keputusan baharu itu, Khairy berkata jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah berjumlah 62 kes.

Foto: BHOnline