Kes positif COVID-19 hari ini mencatat penurunan dalam kes baharu iaitu sebanyak 3,391 berbanding 4,571 kes semalam.

Bagaimanapun, jumlah kematian meningkat kepada 19 berbanding 17 pada Rabu dan kes sembuh baharu pula 3,392 menjadikan angka kes sembuh keseluruhan 185,278.

Menerusi hantaran terkini Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes tersebut masih menyaksikan Selangor sebagai negeri tertinggi merekodkan kes baharu iaitu 1,228 kes, diikuti Johor sebanyak 598 kes dan Kuala Lumpur pula 395 kes positif.

Kesemua pertambahan kes itu melibatkan 3,387 daripada kes tempatan dan empat kes import sekali gus menjadikan angka keseluruhan positif di Malaysia kini 234,874.

Sementara itu seramai 310 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 134 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.