Selepas berita mengenai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 5,000 peserta tabligh untuk ujian COVID-19 disiarkan media, warganet memohon agar kesemua yang terlibat ‘menyerahkan diri’ kepada pusat kesihatan berhampiran.

Menerusi ruangan komen pada berita tersebut yang dikongsi di laman sosial rata-rata warganet memohon kerjasama daripada mereka yang terlibat.

Bagaimanapun ada di antara warganet yang dikecam kerana meninggalkan komen dianggap kurang bijak dan seperti tidak mengambil serius tentang virus pengancam nyawa itu.

Terdahulu, semua Jabatan Kesihatan Negeri dilaporkan sedang mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ini kerana menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, siasatan dijalankan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, telah mengesan individu positif COVID-19 di negara itu mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

Sementara itu menerusi laporan Astro Awani, Brunei telah merekodkan lima lagi kes positif COVID-19 pada Selasa lalu, selepas kes pertama disahkan pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, lima kenalan rapat pesakit pertama juga didapati positif jangkitan virus tersebut dan diasingkan untuk rawatan di pusat kuarantin negara di daerah Tudong.

Salah seorang daripada mereka merupakan lelaki berusia 53 tahun yang mengakui menyertai ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dan telah berada di Miri untuk membeli-belah.

Di Malaysia, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh minggu lalu disahkan positif Covid-19.