Kerajaan sedang membuat penilaian mengenai keperluan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang berikutan peningkatan penularan kes wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedang menunggu penilaian yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama selain pandangan dan perbincangan daripada pelbagai pihak.

"Seperti yang kita sedia maklum, sekiranya PKPD dilaksanakan, setiap individu tidak boleh keluar rumah. Makanan perlu dihantar ke rumah, sektor ekonomi juga ditutup.

"Sekarang ini kita sedang buat penilaian dan sedang dapatkan pandangan KKM dan pandangan daripada beberapa sektor lain.

"Semua ini kita akan buat kajian, dan akan rumuskan nanti. Bagaimanapun, buat masa ini kita buat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dulu," katanya dalam satu sidang media secara live di Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini.

Menurut Ismail lagi, pihaknya masih menunggu keputusan dan keputusan pelaksanaan PKPD di Lembah Klang akan ditentukan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Selangor mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 841 kes aktif.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 865 kes jangkitan baharu virus Covid-19 direkodkan pada hari ini.

Angka tersebut meliputi 858 kes tempatan, manakala 7 kes lagi merupakan kes import.

Bagaimanapun, seramai 455 pesakit dilaporkan sembuh dan tiga kematian direkodkan.



Foto: Astro Awani