Penyanyi Indonesia bertaraf antarabangsa Agnes Monica dilaporkan tidak dapat kembali ke Amerika Syarikat (AS) gara-gara penularan wabak Covid-19.

Memetik laporan Kompas, Agnes atau nama lainnya Agnez Mo terpaksa menunda perjalanannya kembali ke AS selepas Indonesia mengehadkan perjalanan rakyatnya ke luar negara.

“Saya seharusnya kembali ke Amerika beberapa minggu lalu dan kami telah cuba melakukan yang terbaik untuk membuat semuanya berjalan, tetapi realitinya, kita harus sentiasa sihat dan fokus pada apa yang paling penting!

“Bagi orang-orang yang bertanya tentang pekerjaan saya dan bila saya akan kembali ke AS, saya menghargai perhatian kalian. Tapi tahukah kalian bahawa virus Corona telah meliputi tidak hanya Indonesia, tetapi Seluruh Dunia?" tulis Agnez di ruangan Instagram Storynya pada Isnin.

Malah, Agnez turut menyatakan keluarganya juga tidak mengizinkan pemergiannya ke AS dengan terlalu kerap.

"Saya sihat dan terima kasih Tuhan atas perlindungannya, tetapi mari kita saling menjaga diri semua," katanya.

Memandang perkara ini dari sudut positif, dia turut sedar apa sahaja keputusan yang diambil adalah yang terbaik.

Agnez turut mengambil kesempatan untuk menasihati pengikutnya untuk melakukan ‘sosial distancing’ seperti yang diminta oleh Kerajaan Indonesia.

“#SocialDistancing adalah syurga untuk orang introvert seperti saya,” tulisnya lagi.