Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif.

Lanjutan daripada proses saringan ini, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari mulai semalam.

Menerusi laman sosial Twitter, puteri bongsu baginda Tengku Puteri Jihan turut dilaporkan negatif Covid-19.

“Alhamdulillah saya dan keluarga saya negatif,” tulisnya membalas satu kicauan wargamaya.

Memetik laporan Bernama, Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik Covid-19 pulih.

“Al-Sultan Abdullah turut menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, akan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari yang akan ditentukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.



Istana Negara akan terus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihak pengurusan Istana Negara juga akan sentiasa memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di Istana Negara mengikut tatacara serta panduan KKM.