Sebelum ini dakwaan mengenai cubaan untuk menggunakan ubat anti malaria bagi merawat gejala ringan COVID-19 menjadi perbincangan hangat di seluruh dunia.

Bagaimanapun menurut laporan Awani, biarpun tiada bukti saintifik ubat berkenaan berkesan namun kaedah rawatan itu dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Brazil dan usul tersebut telah pun diluluskan oleh Presiden Jair Bolsonaro.

Arahan penggunaan ubat klorokuin dan hidro-klorokuin itu terkandung dalam garis panduan persekutan dikeluarkan kerajaan.

Ia meminta pakar perubatan memberikan ubat anti malaria bersama antibiotik untuk merawat simptom koronavirus.

Garis panduan itu digunakan untuk sistem kesihatan. Ia dikeluarkan ketika Brazil mencatat kes kematian dan jangkitan baharu tertinggi.

Pakar perubatan bagaimanapun mempunyai kata putus sama ada untuk mengikut garis panduan itu atau tidak.

Ubat anti malaria dilaporkan menyebabkan potensi kesan sampingan seperti kegagalan jantung dan hati serta merosakkan retina.

Selain Presiden Brazil, turut menyokong penggunaan ubat anti malaria adalah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Sumber: Astro Awani