Sarawak merekodkan pertambahan 238 kes COVID-19 baharu pada Khamis.

Angka ini dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sehingga kini meningkat kepada 16,628 kes.

"Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah daerah Bintulu dengan 95 kes, Sibu (51), Miri (28), Kuching (22), Beluru (17), Julau (lapan), Serian (enam), Meradong (empat), Tatau (tiga), Sebauh (dua) dan satu masing-masing di Kanowit serta Sri Aman," kata JPBN Sarawak.

Dalam perkembangan kes COVID-19 di Sarawak juga, terdapat dua kes kematian dilaporkan masing-masing di Hospital Sibu dan Hospital Bintulu.

"Kes kematian ke-109 merupakan kes ke-9,688 melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 68 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk, kurang selera makan dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Saringan ujian rt-PCR yang telah dibuat dan dikesan positif pada 28 Mac 2021. Kes disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2021," kata JPBN Sarawak.

Sementara itu, kes kematian ke-110 merupakan kes ke-11,790 melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Bintulu setelah dikesan positif melalui ujian rt-PCR pada 10 Mac 2021.

"Kes mengalami masalah kesukaran bernafas dan memerlukan bantuan pernafasan. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2021," ujar jawatankuasa tersebut.

Sehingga kini, 36 kluster dilaporkan masih aktif di Sarawak. Daripada jumlah berkenaan, enam kluster melaporkan penambahan kes.

Bagi status kes yang telah pulih dan discaj di negeri itu, Sarawak mencatatkan 434 kes baharu yang dilaporkan pulih dan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan discaj meningkat kepada 13,827 individu atau 83.15 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negeri itu, dedah JPBN Sarawak.