Tayangan Filem dokumentari bola sepak cacat penglihatan Eye on The Ball (EOTB) telah ditunda tayangannya di pawagam seluruh negara.

Berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan semalam, tayangan EOTB yang dijadualkan pada 19 Mac ini akan dianjak ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Difahamkan, pengarah Chen Yih Wen dan produser filem R.AGE akan merujuk nasihat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS untuk satu tarikh yang sesuai selepas wabak Covid-19 beransur pulih.

Pada mereka yang telah membeli tiket wayang, sila rujuk pada bahagian operasi pawagam untuk proses pulangan wang.

Segala kutipan dana yang dilakukan untuk Pan-Disability Football Club juga akan ditunda selari dengan tayangan filem.

EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Dalam masa yang sukar ini, rakyat Malaysia perlu saling mengingati akan semangat kebersamaan, kesungguhan, dan solidariti yang ditunjukkan oleh pasukan bola sepak cacat penglihatan ini.

Semoga kita semua membawa semangat yang sama ketika berdepan cabaran wabak berbahaya ini.