Dua daerah zon hijau sebelum ini iaitu Gombak dan Hulu Langat kembali ke zon kuning selepas merekodkan kes positif baru COVID-19.

Ia menjadikan Selangor kembali mengalami peningkatan dalam kes COVID-19, sadangkan pada minggu lalu negeri ini merekodkan penurunan kes positif yang baik, sekali gus menjadikan hampir semua daerahnya berada di zon hijau kecuali Sepang.
Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di Facebook menerusi sebuah entri mendedahkan, daerah Gombak kembali ke zon kuning pada Ahad lalu apabila mukim Cheras mencatatkan satu kes baharu.

Daerah Hulu Langat yang sebelum ini merekodkan kes tertinggi memasuki zon kuning apabila satu kes baharu direkodkan di mukim Batu. Sepang pula masih kekal di zon kuning dengan 12 kes aktif.

"STFC memandang serius laporan yang memaparkan tahap ketidakpatuhan yang mencemaskan dalam kalangan masyarakat.

"Warga Selangor seharusnya sentiasa peka dan berdisiplin mematuhi norma baru kerana negeri ini pernah mencatatkan kes jangkitan tertinggi di dalam Malaysia satu masa dahulu," katanya.

Sementara itu, enam daerah yang berada di zon hijau adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Hulu Selangor.