Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang telah menjejaskan imej Hospital Putrajaya dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan COVID-19.

Dalam kenyataan pada Selasa, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora'i Mohd Said berkata, video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.

Video kedua pula adalah dari saluran YouTube, milik seorang lagi selebriti yang memperkatakan dan menyokong isu dibicarakan oleh pemilik selebriti pertama.

Difahamkan video yang dimaksudkan milik penyanyi Dayangku Intan yang telah diulang siar di akaun media sosial pengacara Azwan Ali.

Dalam video berkenaan, Dayangku memberitahu dia mengalami simptom demam, sakit kepala, sakit tekak dan badan yang segera ke Hospital Putrajaya untuk membuat pemeriksaan.

"Bila malam saya tak boleh tidur, jadi saya putuskan untuk ke Putrajaya (Hospital) untuk semakan.

"Sampai di kaunter kecemasan, tanya jururawat apa perlu buat sebab ada simptom demam, mual, sakit badan dan flu.

"MO tanya dengan 'keras' sama ada saya pernah berdepan kontak COVID-19 atau pulang dari luar negara. Kemudian dia suruh saya ke hospital swasta.

"Jadi saya rasa ditolak tanpa tahu saya berpenyakit dan ke klinik biasa untuk ambil ubat. Sekarang rasa rasa kepala macam nak pecah, tapi saya tunggu lagi seminggu," kata Dayangku menerusi video di Facebooknya.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 9.30 malam pada 15 Mac lalu.


Sehubungan itu, Dr Nora'i berkata, isu berkenaan telah diperbesar-besarkan dengan perkataan-perkataan kesat terhadap petugas kesihatan yang menjalankan tugas.

"Pengurusan Hospital Putrajaya memandang serius akan perkara ini dan turut kesal dengan penularan video tersebut," katanya.

Beliau berkata, orang awam seharusnya lebih peka dengan keadaan semasa wabak COVID-19 dan setiap petugas kesihatan telah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan ditetapkan sepanjang mengendalikan wabak itu.

"Para petugas keletihan dan terpaksa mengenepikan ahli keluarga masing-masing demi tugas yang bahaya ini.

"Penularan ini telah memberi tekanan emosi kepada para petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat seperti ini," katanya.

Dr Nora'i berkata laporan polis itu dibuat bertujuan mendapat tindakan sewajarnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang tidak menghormati tugas anggota paramedik.

Sumber: Facebook Dayangku Intan, Twitter Diva AA, Awani