Sebanyak 2,936 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 277,811 kes, lapor AWANI.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan jangkitan kes tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 36,797 kes," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan sebanyak 13 kes kematian baharu turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 1,043 kes.

Selangor masih kekal negeri tertinggi pertambahan kes harian iaitu sebanyak 978 kes, diikuti Johor sebanyak 730 kes dan Kuala Lumpur 227 kes.

Setakat ini, sebanyak 220 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 104 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 4,889 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 239,971 kes.

Kredit Foto : Astro AWANI