Jika sebelum ini Perlis hanya merekodkan dua angka bagi jangkitan baharu di negeri itu, hari ini 108 kes positif harian dilaporkan.

Hari ini juga, sebanyak 19,307 kes baharu COVID-19 direkodkan bagi tempoh 24 jam yang lalu sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan kes kepada 1,919,774.

Negeri Sarawak merekodkan kes harian tertinggi dengan 3,118 kes diikuti Selangor, 2,700 kes, dan Sabah sebanyak 2,298 kes.

Sarawak hari ini terus mendahului Selangor dengan mencatatkan 3,118 kes positif COVID-19 dengan 99.87 peratus melibatkan katgeori satu dan dua.
Mengikuti perkembangan kes Covid-19 di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi sebuah kenyataan memaklumkan, hanya empat kes yang dilaporkan melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

‘’2,435 atau 78.09 peratus merupakan kes kategori satu dan 679 kes atau 21.78 peratus melibatkan kategori dua.

‘’Manakala satu kes dilaporkan melibatkan kategori tiga, dua kes kategori empat dan satu kes kategori lima,’’ kata kenyataan tersebut.

Selain itu, Kuching kekal merekodkan kes positif harian tertinggi dengan 984 kes manakala sembilan daerah lain mencatatkan kes positif tiga angka.

Ia termasuk Sibu (430), Betong (200), Bau (143), Bintulu (140), Sri Aman (132), Samarahan (131), Serian (117), Miri (113) dan Song (112).

‘’Hari ini sembilan kematian dilaporkan di Sarawak melibatkan mereka yang berusia 66 tahun sehingga 87 tahun.

‘’Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri itu meningkat kepada 602 kes,’’ tambah kenyataan itu.

Antara lain, 24 lokaliti dari tujuh daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 hingga 23 September.

Sementara empat lokaliti melibatkan tiga daerah dikenakan lanjutan PKPD sehingga 23 September.