Sebanyak 1,290 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan setakat tengah hari ini dengan 1,067 jangkitan di Sabah dan Selangor.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kumulatif sudah mencecah angka 51,680, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula sebanyak 13,222 kes.

Beliau berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 660 kes dan Selangor merekodkan 407 kes.

"Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan pusat tahanan sementara (PTS), lokap dan penjara (250 kes), manakala peningkatan kes di Selangor berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan kluster baharu pada hari ini, iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes).

"Kedua-dua kluster itu berkaitan tempat kerja yang membabitkan bukan warganegara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 269 kes atau 20.9 peratus yang dilaporkan hari berkaitan kluster-kluster di PTS, lokap dan penjara.

Katanya, ini membabitkan Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (sembilan kes), Kluster PTS Tawau (enam kes), Kluster Benteng PK (tiga kes), Kluster GK Tawau (dua kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (satu kes).

Beliau berkata, daripada jumlah kes yang dicatatkan hari ini, lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,285 kes pula penularan COVID-19 dalam negara.


Sumber: Berita Harian