Berita
COVID 19; Kes Masih Empat Angka, Abah Muhyiddin Bakal Umum 'Sesuatu' Isnin Ini
Melihat angka kes COVID 19 yang tidak menurun malah sempat mencatatkan kes harian tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 3,027 kes pada Khamis (7/1/2021), satu pengumuman khas akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengumuman khas berhubung situasi semasa keadaan COVID-19 di negara ini akan diadakan pada Isnin ini (11/1/2021).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.
"Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk mempertimbangkan prosedur operasi standard lebih ketat membabitkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko COVID-19," katanya.
Enggan menjawab persoalan media dengan lebih lanjut, Ismail Sabri meminta semua pihak bersabar dan menunggu Isnin untuk mengetahui butiran lanjut dari pengumuman yang bakal dibuat perdana menteri.
"Insya-Allah satu pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri pada Isnin bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Sekadar rekod, sejak penghujung November 2020, trend peningkatan jangkitan mencatatkan empat angka dengan yang tertinggi semalam.
Sehubungan itu ramai yang menggesa kerajaan melakukan tindakan demi mengekang semula penularan COVDI 19 di seluruh negara.
Kredit Foto: MalayMail
Must-Watch Video