Kes baharu COVID-19 negara kembali melonjak selepas merekodkan 6,239 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Semalam Malaysia merekodkan 5,566 kes, menyaksikan tren penurunan beberapa hari sebelum kes meningkat semula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus kekal mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 2,291 kes, diikuti Kuala Lumpur (704 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

Sementara itu, katanya, Perlis merekodkan kes paling rendah dengan empat kes.

"Dengan 6,239 kes baharu, ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 633,891 kes," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di negara ini terus menunjukkan penurunan dengan semalam mencatatkan 0.95.