Jumlah kes harian dalam negara terus catat peningkatan dengan 1,889 lagi individu disahkan positif COVID-19 pada Rabu.

Dengan masih lagi empat angka, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan dalam negara bertambah kepada 365,829 setakat hari ini.

Sementara itu dalam tempoh 24 jam lalu, negeri Selangor memegang rekod kes tertinggi dengan pertambahan 517 kes, diikuti Sarawak (489 kes), Kelantan (226 kes) dan Kuala Lumpur (134 kes).

Pertambahan jangkitan baharu ini menjadikan jumlah kes aktif kini meningkat kepada 16,696 dengan 204 kes berada di dalam unit rawatan rapi dan 79 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malaysia pada masa sama mencatatkan kes sembuh baharu dengan 1,485 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih seramai 347,780.

Dalam perkembangan sama, lapan lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu. Jumlah korban akibat COVID-19 dalam negara kini mencatat 1,353.