Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

COVID 19: Korea Selatan Haramkan Gangnam Style & Lagu Tempo Laju Di Gym Kerana Peluh

Maliah Surip
14/07/2021 13:50 MYT
Korea Selatan mengambil langkah lebih ketat mengekang wabak COVID 19 merebak di negaranya apabila mengumumkan semua lagu dengan tempo laju melebihi 120 rentak per minit diharamkan di semua gimnasium seluruh negara.

Antara lagu dengan tempo pantas yang dilarang dipasang di gym adalah hit fenomena dari penyanyi Psy, Gangnam Style. Lagu tersebut mempunyai tempo 132 rentak per minit dan melebihi had yang dibenarkan kerajaan.

Sementara itu, dua lagu hit BTS iaitu Dynamite dan Butter masih boleh diputar di gym kerana memiliki tempo 114 dan 110 rentak per minit.

Selain mengehadkan tempo muzik yang dimainkan, penggunaan treadmills juga dikawal dengan tempoh maksimum hanya 6 kilometer per jam (3.7 mph). Semua pusat gimnasium pula diarah ditutup pada pukul 10 malam waktu tempatan.

BBC melaporkan, langkah proaktif itu diambil untuk memastikan tiada penyebaran virus COVID 19 berlaku kerana ramai rakyat Korea saat ini menghabiskan banyak masa dengan berolahraga di gimnasium. Mereka yang berolahraga akan mendengar tempo lagu yang laju.

Lantaran itu, pihak kerajaan melakukan larangan tersebut bertujuan untuk menghentikan para pengguna gym bernafas terlalu cepat atau memercikkan peluh kepada orang lain.

Bagaimanapun langkah tersebut menerima kritikan pedas dalam kalangan pengusaha gym serta mereka yang melakukan olahraga.

Salah seorang pemilik gym di Seoul, Kang Hyun-ku mempersoalkan adakah kajian saintifik yang menunjukkan lagu klasikal misalnya dan muzik BTS mampu menyebarkan virus COVID 19.

"Bagaimana kita boleh menjamin pengguna gym tidak mendengar lagu dengan tempo melebihi 120 rentak per minit apabila kebanyakannya mendengar muzik melalui earphones. Bagaimana kita boleh kawal playlists mereka?" katanya kepada Reuters.

Pada Ahad, Korea Selatan mencatatkan sebanyak 1,100 kes baharu sehingga peraturan baru diperketatkan bermula minggu ini.



#K #Korea Selatan #Gangnam Style #Gimnasium #Pop #19 #Covid #Peluh
;