Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia agar mengambil sikap berjaga-jaga dan menjauhi haiwan sebagai langkah mengelakkan dari dijangkiti wabak COVID-19, lapor Awani

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebiasaan wabak tersebut dikesan mempunyai kaitan dengan haiwan, selain kajian menunjukkan hanya tujuh koronavirus menjangkiti manusia.

“Jadi daripada koronavirus yang kita tahu seperti SARS, Mers-CoV dan sekarang adalah COVID-19. Jadi, ini penting bahawa kita menyarankan orang ramai supaya cuba mengelak kontak rapat dengan haiwan kerana kemungkinan jika kita mempunyai kontak rapat dengan haiwan, jika haiwan Itu dijangkiti virus dan (jika) virus itu boleh memberi kesan kepada manusia, sebagai contoh koronavirus.

“Jadi, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kita mengambil langkah pelindungan diri selain mengekalkan tahap kebersihan diri. Jika tidak, kita boleh menjadi mangsa,” katanya pada sidang media harian, di sini pada Isnin.

Justeru, Dr Noor Hisham menyarankan pemilik haiwan peliharaan agar membawa haiwan masing-masing untuk menjalani pemeriksaan di klinik haiwan.


Terdahulu, seekor harimau di Zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat disahkan positif COVID-19.

Menurut zoo tersebut dalam satu kenyataan, harimau Malaya betina bernama Nadia dan berusia 4 tahun, sebelum itu mengalami batuk kering.

Susulan itu, kakak binatang tersebut, Azul, dua harimau Amur dan tiga singa Afrika kini di bawah pemantauan.

Sumber: Astro Awani