COVID-19: “Larangan Rentas Negeri Tak Disukai Ramai Tapi Perlu Dilakukan” - Ismail Sabri

Awani
April 24, 2021 01:45 MYT
Biarpun keputusan untuk tidak membenarkan rentas negeri bukanlah sesuatu yang disukai rakyat tetapi ia perlu dilakukan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikekang.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal ini penting terutama dalam situasi banyak negara lain sedang berdepan gelombang keempat wabak berkenaan.
"Saya ambil contoh negara India yang (sebelum ini) merekodkan lebih 200,000 kes baharu COVID-19 sekali gus melonjakkan angka kes positif di negera itu melepasi 14 juta orang.
"Di New Delhi, puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat untuk menempatkan pesakit COVID-19, manakala di hospital pula, keadaannya sesak dan kekurangan kakitangan kesihatan.
"Sudah pasti kita tidak mahu Malaysia jadi seperti itu. Jadi, sekali lagi saya tekankan, pertingkatkan kawalan kendiri dan patuhi SOP," katanya dalam sidang media khas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Beliau menambah, majoriti rakyat Malaysia mematuhi SOP yang ditetapkan namun terdapat sebilangan kecil yang menyumbang kepada kenaikan kes.
"Sebenarnya, tahap kepatuhan rakyat tinggi. Cuma sebilangan kecil yang gagal mematuhi SOP dan akhirnya menjadi punca kes meningkat naik.
"Data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan salah satu penyebab peningkatan kes harian adalah akibat daripada pergerakan rentas negeri.
"Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung, menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak," ujarnya.
#Datuk #Seri #Ismail #COVID-19 #Rentas Negeri #Menteri Kanan Pertahanan #Larangan Rentas Negeri #Sabri #Yaakob