Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

COVID 19: Lebih 700, 000 Sudah Menganggur Sejak Disember 2020

Maliah Surip
08/02/2021 07:20 MYT
Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus atau 772.9 ribu orang pada Disember 2020.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, susulan pembukaan semula ekonomi menjelang akhir tahun 2020, bilangan penduduk bekerja meningkat sedikit berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Pada bulan terakhir 2020, walaupun bilangan kes baharu COVID-19 melebihi purata 1,500 kes sehari, aktiviti ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Justeru, bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 19.3 ribu orang kepada 15.22 juta orang setelah mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

"Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan terus mencatatkan trend yang semakin meningkat terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial; Maklumat & komunikasi dan Pendidikan.

Walau bagaimanapun, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti Penginapan dan Perkhidmatan makanan; Pengangkutan dan penyimpanan; serta Kesenian, hiburan & rekreasi terus menurun.

Sumber: Awani
Kredit Foto: Malaymail

#Malaysia #COVID 19 #000 #Disember 2020 #700 #Menganggur
;