Kebimbangan terhadap penyebaran wabak COVID-19 dilihat semakin serius apabila Arab Saudi hari ini menghentikan sementara kemasukan jemaah untuk memasuki negara itu bagi mengerjakan umrah.

Menerusi laporan Astro Awani, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan ia bertujuan membendung jangkitan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan itu, penggantungan itu termasuk bagi program ziarah Masjid Nabi di Madinah.

Malah, penggantungan turut membabitkan individu yang menggunakan visa pelancong dari negara-negara yang terjejas akibat COVID-19.

Sementara itu menurut laporan Arab News, garis panduan telah dikeluarkan dan ia merangkumi tindakan untuk menggantung perjalanan ke Arab Saudi bagi warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menggunakan kad pengenalan kebangsaan.

Difahamkan, hampir 7 juta jemaah mengerjakan umrah di Arab Saudi setiap tahun, dengan majoriti daripada mereka mendarat di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.

Setakat ini, tiada kes positif COVID-19 dilaporkan di Arab Saudi kecuali melibatkan seorang warganya yang ketika ini berada di Kuwait dan ditahan di sana untuk menerima rawatan.

Sumber: Astro Awani