Malaysia mencatatkan kes kematian tertinggi berkaitan COVID-19 setakat ini selepas merekodkan 16 kes kematian pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini sebanyak 537 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Untuk makluman, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kadar kematian tertinggi adalah sebanyak 12 kes pada 3 November tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 2,643 kes harian COVID-19 baharu telah direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah sebanyak 131,108 kes, dengan bilangan kes sembuh COVID-19 pula adalah sebanyak 2,708 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 105,431 kes atau 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,140 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.


“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus).

“Sebanyak 79 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Tembok Choh (dua kes), dan Kluster Tembok Gajah (satu kes),” ujar beliau.