Terdapat peningkatan mendadak pada kes jangkitan harian virus Covid-19 apabila sebanyak 2,234 kes baharu direkodkan hari ini.

Angka empat digit tersebut merupakan kes harian tertinggi yang pernah diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang pandemik melanda negara.

Daripada jumlah itu, Selangor masih menjadi negeri dengan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 1,428 kes diikuti Sabah (274) dan Kuala Lumpur (136).

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negara ini sebanyak 11,867 kes yang mana 124 daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 60 lagi perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, sebanyak 1,112 pesakit dilaporkan sudah berjaya sembuh menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih daripada jangkitan seramai 66,236 orang.

Dalam pada itu, negara mencatatkan tiga lagi kes kematian direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan angka kematian mencecah 396 orang.

Sehingga kini, sebanyak 78,499 kes jangkitan virus Covid-19 dicatatkan di negara ini.




Infografik: KKM