Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam.

Penangguhan bayaran PTPTN itu akan berkuat kuasa serta-merta selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2020.

Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad yang bersetuju dengan cadangan yang diberikan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Noraini yang bersetuju dengan cadangan memberi kelonggaran kepada para peminjam PTPTN.

“Saya amat gembira kerana ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera, hanya beberapa hari sahaja selepas cadangan tersebut diangkat kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro Awani.

Penangguhan bayaran balik pinjaman akan memberi manfaat dan membantu hampir 1.5 juta peminjam PTPTN yang melibatkan jumlah kutipan bagi tempoh penangguhan ini sebanyak RM375 juta.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui talian Careline di 03 - 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.