Kes baharu COVID-19 di Malaysia berada pada angka di bawah 20,000 kes untuk tiga hari berturut-turut selepas merekodkan 19,733 kes hari ini.

Jumlah terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sehingga ini adalah 1,900,467 kes.
Sarawak kekal menjadi negeri merekodkan kes tertinggi dengan 3,100 kes diikuti Selangor yang mencatatkan kes baharu di bawah angka 3,000 dengaan 2,989 kes baharu.

Menerusi ciapan di Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu di Pulau Pinang terus meningkat dengan 2,474 kes baharu direkodkan pada Rabu.

Ia diikuti Sabah (2,067 kes), Johor (1,867 kes), Kedah (1,564 kes), Kelantan (1,471 kes) dan Perak (1,319 kes).
Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan kes baharu di bawah angka 1,000.

Manakala Perlis merekodkan 74 kes baharu, Putrajaya pula dengan 29 kes baharu dan hanya Labuan merekodkan kes baharu satu angka dengan tujuh kes baharu.

Dr Noor Hisham turut berkongsikan kapasiti dan penggunaan katil COVID-19 sehingga 7 September 2021.

Berdasarkan maklumat dikongsi beliau, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh Malaysia kini adalah 84 peratus manakala penggunaan katil bukan ICU pula adalah sebanyak 77 peratus.

Foto: Google