Sebanyak 1,070 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan kes kumulatif setakat ini sebanyak 352,029 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor mencatat angka tertinggi dengan 327 kes jangkitan.

“Ini diikuti oleh Sarawak dengan 225 kes dan Pulau Pinang sebanyak 133 kes," kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan media harian pada Isnin.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak 1,294 pesakit sembuh direkodkan menjadikan kes pulih keseluruhan sebanyak 336,456 kes, manakala keseluruhan kes aktif dalam negara kini mencecah angka 14,278.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, negara mencatatkan tambahan tujuh kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,295.

Katanya, seramai 180 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 89 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selain itu, katanya terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini yang melibatkan kluster tempat kerja dan komuniti.

Enam kluster itu termasuk lima kluster tempat kerja yang dinamakan Kluster Lorong Dua, Taman Komersial, Jalan Inovasi, Mata Kuching dan Persiaran Utama. Sementara kluster komuniti adalah Kluster Bukit Sera.