Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan sebanyak 1,009 kes jangkitan baru virus COVID-19 di negara ini pada hari ini.

Daripada angka tersebut sebanyak 1,000 merupakan kes tempatan, manakala 9 pesakit lagi merupakan kes import.

Bagaimanapun, sebanyak enam kematian direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 277 kes kematian.

Sementara itu, sebanyak 839 pesakit yang berjaya sembuh dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini sebanyak 25,654 kes.

Begitupun, sebanyak 10,503 kes lagi yang masih aktif dengan 78 pesakit daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 28 individu lagi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham terus mengingatkan agar individu tidak merentas sempadan atau daerah berikutan terdapat kes yang sudah dikesan.

"Inilah kebimbangan kita bila ada aktiviti aktiviti merentas sempadan atau daerah. Elakkan balik ke kampung yang zon hijau kerana takut kita membawa balik kuman dan mewujudkan kluster baharu nanti.

"Saya mohon untuk 2 minggu ini kekal di rumah," katanya.

Sehingga kini, negara sudah mencatatkan sebanyak 36,434 kes setakat 5 November 2020.

Jadi, kepada anda semua, jom sama-sama kita putuskan rantaian COVID-19.

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!