Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengulas mengenai desas desus mengenai Malaysia akan menjalani total lockdown selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 4 Februari depan seperti yang tular sejak beberapa hari ini.

Ismail Sabri menegaskan kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksaan tersebut kerana perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang akan memberi impak kepada kesihatan dan ekonomi negara.

"Kami akan mengumumkan keputusan yang dibuat sebelum PKP 2.0 berakhir pada 4 Februari ini sama ada keperluan melakukan total lockdown seperti PKP terdahulu. Nantilah, Insya Allah kita akan umumkan," kata Ismail Sabri sewaktu sidang media harian.

Beliau mengatakan perlu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Pelbagai reaksi timbul apabila dimaklumkan tentang pelaksanaan PKP1 (PKP sepenuhnya), ada pihak setuju dan ada yang tidak kerana mereka mahu PKP1 dilaksanakan bagi menutup sepenuhnya semua operasi iaitu tiada perniagaan dan rakyat... duduk di rumah seperti dilakukan dulu dengan alasan boleh membantu percepatkan penurunan kes harian COVID-19.

"Ramai juga tidak bersetuju, jadi ada pelbagai reaksi, mereka tidak setuju PKP1 terutamanya mereka yang berniaga atau peniaga mikro yang setengah daripada mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian.

"Sehubungan itu, sebarang keputusan kerajaan akan dinilai secara menyeluruh dan memang aspek kesihatan kita perlu jaga, tetapi dalam masa yang sama kita mahu lindungi kepentingan rakyat terutamanya golongan miskin yang terpaksa bergantung kepada pendapatan harian," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan bahawa PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan.

Dr Noor Hisham, berkata keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 2.8 juta individu berdepan risiko kehilangan pekerjaan jika PKP penuh dilaksanakan kerajaan.

"Kumpulan berpendapatan rendah (B40) juga akan kehilangan pendapatan bulanan dengan purata RM2,400 sebulan membabitkan RM6.45 bilion kesan pelaksaan PKP penuh.

"Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sejak pelaksaan PKP pada Oktober 2020, sebanyak 13,445 syarikat telah menutup operasi dan ini menyebabkan banyak pihak telah kehilangan pekerjaan.

"Oleh itu, kerajaan akan mengumumkan perkara ini sebelum 4 Februari depan dan perbincangan dengan semua pihak akan dilakukan dengan mengambil kira kesan yang akan timbul jika PKP penuh dilaksanakan baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi," katanya seperti dipetik dari Awani.

Kredit Foto: Malaysia Now