Gaya Hidup
Covid Tak Covid, Harga Durian Tetap Melambung!
Harga raja buah tidak mengalami perubahan walaupun berdepan situasi pandemik COVID-19.
Memetik laporan Sinar Harian, tinjauan yang dilakukan sekitar Lembah Klang menyaksikan harga durian masih sama seperti tahun-tahun terdahulu.
“Di Lembah Klang misalnya, harga buah durian musang king sekitar RM45 hingga RM65 sekilogram, udang merah RM38 sekilogram, IOI (RM35), D24 (RM30) dan durian kampung (RM18),” tulis akhbar tersebut.
Malah menerusi pemerhatian mereka juga, ramai kaki durian yang tidak lagi pedulikan penjarakkan sosial ketika membeli buah kegemaran mereka.
Ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan kini, ramai yang berpusu-pusu mahu melunaskan keinginan isi kuning masing-masing.
Menerusi tinjauan Sinar Harian juga, orang ramai dilihat sudah bersedia menunggu penjual menurunkan buah yang masih berlonggok di dalam lori.
Tidak salah untuk anda membeli buah kegemaran asalkan tahu menjaga jarak masing-masing. Semoga tidak ada kluster durian wujud dalam situasi getir ini.