Hiburan
COVID-19: Bazar Ramadan Di Selangor Dibatalkan Sehingga Dapat Kebenaran KKM
Kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk membatalkan kesemua bazar Ramadan, dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu mungkin akan diubah bergantung kepada pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kerajaan negeri baru sebentar tadi bermesyuarat dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan arahan nanti. Kita akan tangguh atau batalkan bazar hingga masa sesuai, dan ini jika kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri kata sudah boleh dilakukan, baru kita buat.
“Tetapi buat waktu ini kita tangguh apa apa pelaksanaan bazar. Dan perkara ini telah dibincangkan atas talian dengan Yang di-Pertua Pihak Berkuasa Tempatan, ada cadangan saya terima daripada mereka,” katanya kepada Astro Awani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, dalam memastikan penjualan makanan kekal rancak sepanjang bulan Ramadan, kerajaan negeri akan melihat kepada usaha mewujudkan bazar Ramadan secara dalam talian.
Selain Selangor, antara beberapa negeri yang turut membatalkan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini adalah Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video