BERITA
Covid-19: Dari 4 Digit Turun Ke 823 Kes Jangkitan Harian, 8 Lagi Kematian
Sekali lagi kelibat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak kelihatan di kaca televisyen seperti kelaziman petang ini.
Sidang media bersama Kementerian Kesihatan (KKM) yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada pukul 5.30 petang tadi bagi mengumumkan situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini dibatalkan.
Bagaimanapun perkembangan semasa pandemik Covid-19 di negara ini turut dimaklumkan menerusi platform media sosial KKM.
Menerusi satu ciapan di Twitter, KKM memaklumkan terdapat penurunan kes jangkitan harian di negara ini berbanding semalam yang mencecah empat digit buat pertama kali.
Angka kes jangkitan harian merekodkan sebanyak 823 kes yang mana kesemuanya merupakan kes tempatan.
Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan kes aktif di negara ini seramai 9,202 orang yang mana 99 daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 30 lagi terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sabah masih dikategorikan sebagai negeri paling tinggi kes harian direkodkan iaitu sebanyak 533 kes diikuti Pulau Pinang (97), Selangor (88), dan Labuan (26).
Dalam pada itu seramai 579 pesakit berjaya sembuh dan discaj menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 17,134 kes.
Bagaimanapun, terdapat 8 lagi kematian baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian seramai 229 orang.
Sehingga kini, negara sudah mencatatkan sebanyak 26,565 kes setakat 25 Oktober 2020.

Infografik: Instagram Kementerian Kesihatan Malaysia
Kredit foto: Monash, VOX
