Berita
COVID-19: “Jangan Sampai Tahap Perlu Pilih Siapa Boleh Guna Peralatan” - KKM Bersedia Hadapi Kemungkinan Terburuk
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dapat mengelakkan peningkatan jumlah kes, yang boleh membawa kepada kebanjiran kes di hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, apabila sampai tahap ke tahap itu, tidak mustahil jika doktor perlu memilih pesakit yang perlu diutamakan dalam soal peralatan perubatan.
"Hari ini, ada 64 pesakit dalam ICU, dengan 27 daripadanya menerima sokongan ventilator. Jika kita rawat mereka dengan baik, mereka boleh pulih pada masanya.
"Kebimbangan adalah jika ada peningkatan (kes), maka kita perlu pilih pesakit mana (untuk gunakan ventilator). Kami harap tak akan sampai ke tahap itu."
Walaupun mengharapkan yang terbaik, KKM sedang bersedia untuk berdepan kemungkinan terburuk dalam mendepani Covid-19.
“33 hospital di seluruh negara, termasuk tujuh hospital universiti, telah dipilih untuk merawat pesakit Covid-19.
“Secara keseluruhan ada 3,000 katil di wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sedia untuk berdepan kemungkinan terburuk.
“Dengan persediaan ini kita berharap dapat memutuskan rantaian jangkitan dan mengurangkan kes positif.
"Kami telah mengenal pasti 26 hospital, dan tujuh universiti hospital, dan diharapkan mereka mampu mendepaninya dan ada katil untuk pesakit Covid-19, termasuk ICU," katanya ketika sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Jika lebih banyak katil diperlukan, beliau berkata pihaknya sedia untuk menjadikan institut latihannya sebagai wad hospital.
"Kita tak boleh bina hospital dalam masa sepuluh hari, tapi kita boleh tukarkan institut latihan kepada wad," katanya.
Setakat ini 16 kematian dilaporkan.
Sumber: MalaysiaKini
Anda juga boleh menonton perkembangan terkini mengenai COVID-19 dan berita semasa di Astro Awani menerusi aplikasi Astro GO!
Tunggu apa lagi dapatkan aplikasi Astro GO di Apple Store dan Google Play sekarang!
Must-Watch Video