Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Gaya Hidup

COVID-19: Jururawat Pencen Mahu Kembali Bertugas Semula Sebagai Sukarelawan

Azwa Rahman 25/03/2020 | 13:14 MYT

Seorang jururawat yang telah bersara, Biby Maideen mahu kembali bertugas sebagai sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan.

Memetik laporan Malaysiakini, Bibi, 68, telah pun berbincang dengan empat anaknya sebelum menghantar permohonan menjadi sukarelawan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon agar doktor dan jururawat bersara kembali berkhidmat.

“Derma bukan hanya bermakna menyumbangkan wang atau makanan tetapi sebagai manusia, apa saja yang anda boleh buat. Dan bagi saya, inilah apa yang saya dapat sumbangkan,” kata Biby kepada Malaysiakini.

Menurut Biby lagi, dia mendapat pendidikan sebagai jururawat di United Kingdom (UK) dan kemudian berkhidmat sebagai jururawat selepas menamatkan diplomanya pada 1974.

Biby kemudian bekerja di UK selama kira-kira tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia dan menyertai institusi kesihatan swasta selama lebih dari empat tahun.

Menceritakan pengalamannya, Biby memberitahu pada awal 1980-an, dia menyertai perkhidmatan kesihatan awam dan berkhidmat sebagai jururawat komuniti selama 15 tahun sebelum kembali ke sektor swasta.

Mendapat sokongan penuh daripada anak-anaknya, Biby berharap walaupun ramai pesara yang kembali berkhidmat mungkin tidak dapat bekerja secara langsung di barisan hadapan disebabkan faktor usia, mereka tetap boleh mengambil alih tugas yang lebih ringan agar jururawat sedia ada dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga pesakit.

#COVID-19 #Frontliners #Kementerian Kesihatan Malaysia
;