Berita
COVID-19: Kes Di Malaysia Dijangka Mendadak, MAEPS Bakal Dijadikan Pusat Kurantin
Dua dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan dijadikan pusat kuarantin dan rawatan untuk merawat pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan.
Pusat itu yang dijangka siap petang Ahad, adalah sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku peningkatan secara drastik pesakit COVID-19 yang dijangka pada pertengahan April.
Sejumlah 600 katil akan ditempatkan yang meliputi 400 unit di Dewan A manakala 200 lagi di Dewan B.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sejumlah 3,400 katil di semua hospital yang merawat COVID-19 di seluruh negara dan tambahan 1,892 katil di Institut Latihan KKM, menjadikan jumlah keseluruhan katil ialah 5,292.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut meninjau persiapan di pusat kuarantin dan rawatan di MAEPS pada Sabtu.
Dalam pada itu, KKM menjangkakan peningkatan mendadak kes positif pandemik COVID-19 pada pertengahan April ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun langkah drastik telah diambil oleh pihak berkaitan termasuk melakukan semburan nyah kuman dan nyah jangkitan sebagai inisiatif untuk membendung penyebaran wabak tersebut.
Sumber: Astro Awani